Nation
104

Covid-19 : Kanak-kanak Malaysia dikaitkan dengan kluster baharu di Singapura

Singapura – Seorang kanak-kanak Malaysia berusia tujuh tahun adalah satu daripada dua kes baharu Covid-19 yang dikaitkan dengan kluster baharu di sini, menurut Kementerian Kesihatan republik itu.

Kali terakhir murid Sekolah Rendah Yuhua itu ke sekolah pada 14 Mei, kata kementerian dalam satu kenyataan, malam tadi.

Selain itu, ahli keluarga kanak-kanak itu, seorang tukang masak Malaysia di Spring Court Restaurant berusia 36 tahun juga dikaitkan dengan kluster sama.

Keputusan ujian pada 17 Mei menunjukkan positif Covid-19.

Kes pertama kluster ini membabitkan seorang Penduduk Tetap berusia 64 tahun yang kini menganggur dan kedua-dua rakyat Malaysia itu serumah dengan wanita berkenaan yang disahkan positif pada 15 Mei.

Sementara itu, dua lagi rakyat Malaysia pula dikaitkan dengan kluster Terminal 3 Lapangan Terbang Changi dengan 87 kes disahkan.

Seorang daripadanya adalah wanita Malaysia berusia 36 tahun yang pada peringkat awal disahkan positif tahap varian B.1.617, dan sedang menunggu ujian pengesahan selanjutnya.

Semalam, Singapura melaporkan 11 kes tidak berkaitan termasuk dua lagi rakyat Malaysia.

Republik itu yang sudah memperketat langkah-langkah keselamatan dalam masyarakat bermula 16 Mei lalu setakat ini mencatatkan jumlah jangkitan Covid-19 sebanyak 61,651.

Terdapat 220 kes masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih, manakala lima pesakit kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi.

Singapura mencatatkan 19 kluster terbuka setakat ini. – Bernama

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu