Nation
106

Covid-19 : Kedah akan sediakan pinjaman mudah kepada peniaga kecil terjejas

Alor Setar – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini diberitahu kerajaan negeri akan menyediakan pinjaman mudah maksimum RM5,000 kepada peniaga kecil yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata tawaran pinjaman mudah yang melibatkan peruntukan RM1 juta itu akan bermula Oktober ini dalam usaha membantu golongan berkenaan memulakan semula perniagaan.

“Setiap peniaga kecil boleh membuat pinjaman maksimum RM5,000… pinjaman mudah itu bagi membantu peniaga kecil yang terkesan akibat COVID-19 kerana ada antara perniagaan mereka terhenti akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Phahrolrazi Zawawi (Amanah-Alor Mengkudu) yang ingin tahu bentuk bantuan lain yang akan diberikan kepada rakyat Kedah yang masih berdepan kesan pandemik itu.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata sejak pelaksanaan PKP 3.0 pada Jun lepas, kerajaan negeri sangat prihatin terhadap kebajikan rakyat negeri ini dengan melaksanakan pendekatan menyalurkan bantuan bakul makanan kepada mereka yang terjejas.

“Kita tidak pernah jangka COVID-19 ini akan jadi tetapi kalau lihat setiap kali PKP Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di kawasan tertentu, kerajaan negeri akan bekalkan bakul makanan dan wang tunai kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Mohd Azam Abd Samat (PAS-Sungai Limau), Muhammad Sanusi berkata setakat ini kewangan kerajaan negeri masih mencukupi dalam menghadapi tempoh pandemik itu berikutan mengamalkan pendekatan berjimat cermat.

“Banyak program di peringkat negeri tidak dapat dilaksanakan jadi bolehlah simpan wang dan kita akan terus dapatkan lagi bayaran premium dan cukai tertunggak untuk tambah lagi pendapatan negeri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi berkata pendapatan keseluruhan kerajaan negeri pada tahun ini dijangkakan dapat mengatasi pendapatan tahun lepas yang merekodkan jumlah keseluruhan lebih RM560 juta.

“Bagi tahun ini, pendapatan keseluruhan yang diperoleh setakat 19 Sept lepas adalah berjumlah hampir RM559 juta. Jadi, dengan baki empat bulan ini, kita jangka terima RM40 juta lagi dan ia akan dapat mengatasi pendapatan keseluruhan pada 2020,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu