Nation
139

Covid-19 : KKM belanja lebih RM8 juta untuk pengurusan mayat

Kuala Lumpur – Kementerian Kesihatan (KKM) telah membelanjakan sebanyak RM8.128 juta untuk perolehan peralatan perubatan khususnya bagi pengurusan mayat berkaitan COVID-19 di Jabatan Forensik hospital KKM di seluruh negara dari 2020 hingga 10 Sept lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang berkata daripada jumlah tersebut, RM6.5 juta dibelanjakan bagi urusan penyimpanan mayat di hospital yang meninggal dunia akibat COVID-19.

“Pada 2020 kita belanjakan lebih kurang RM898,000 dan tahun ini RM7.2 juta,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Juhanis Abd Aziz mengenai jumlah elaun khas untuk petugas kesihatan yang telah dibelanjakan serta jumlah peruntukan dibelanjakan bagi urusan penyimpanan mayat di hospital yang meninggal dunia akibat COVID-19.

Terdahulu, Aaron berkata kadar pemberian elaun khas COVID-19 kepada petugas barisan hadapan antaranya bagi doktor dan anggota kesihatan daripada pelbagai kategori yang terlibat dalam pengurusan menangani wabak COVID-19 telah pun dinaikkan daripada RM400 kepada RM600 sebulan.

“Secara keseluruhannya hingga 30 Sept 2021, Kementerian Kesihatan telah membelanjakan sejumlah RM916 juta bagi bayaran elaun khas kepada petugas KKM yang melibatkan kira-kira 1.7 juta tuntutan.

“Pemberian elaun khas ini juga diberi kepada petugas penjawat awam yang terlibat dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang kadarnya juga dinaikkan kepada RM600 sebulan,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu