Nation
60

Covid-19 : Lebih 1.4 juta sudah terima vaksin

Kuala Lumpur – Seramai 1,409,215 individu sudah menerima vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Jumlah itu termasuk 537,996 yang sudah melengkapi dua dos vaksin sehingga semalam.

Melalui data dikongsi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, dalam Twitter, hari ini, baki 871,219 pula sudah selesai menerima dos pertama.

Selain itu, berdasarkan maklumat daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), pendaftaran vaksin COVID-19 setakat ini ialah 9,365,711 iaitu 38.60 peratus bagi populasi 18 tahun ke atas dengan 33,298 pendaftaran baharu direkodkan sehingga 11.59 malam tadi.

Melalui program imunisasi, Selangor merekodkan bilangan penerima vaksin tertinggi dengan 116,450 penerima dos pertama dan 73,608 (dos kedua).

Ia diikuti Kuala Lumpur seramai 89,659 (dos pertama) dan 49,277 (dos kedua); Perak (69,996) dan 51,825 (dos kedua).

Jumlah penerima vaksin membabitkan dos pertama di negeri lain ialah Perlis (16,897); Kedah (57,436); Pulau Pinang (60,633); Putrajaya (8,980); Negeri Sembilan (37,649) dan Melaka (29,442).

Bagi jumlah pemberian dos kedua di negeri lain pula ialah Perlis sebanyak 9,902; Kedah (31,999); Pulau Pinang (33,745); Putrajaya (6,303); Negeri Sembilan (27,703) dan Melaka (15,270).

Program imunisasi bermula pada 24 Februari lalu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menjadi individu pertama menerima vaksin COVID-19.

Fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mensasarkan untuk memberikan vaksin sekurang-kurangnya 500,000 petugas barisan hadapan bulan ini.

Fasa kedua yang dijadualkan bermula Isnin ini hingga Ogos depan pula untuk kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa ketiga dijadualkan bermula Mei depan hingga Februari 2022 dan disasarkan untuk kira-kira 13.7 juta penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu