Nation
111

Covid-19: Lebih 80% kematian akibat komorbid

Putrajaya – Kira-kira 86.3 peratus atau 1,126 kematian akibat Covid-19 adalah mereka yang mempunyai sejarah komorbid seperti menghidap tekanan darah tinggi dan kencing manis selain golongan berusia, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Adham berkata peratusan itu adalah daripada keseluruhan 1,306 kematian yang direkodkan hingga 7 April lepas.

“Jelas sekali kesemua penyakit tidak berjangkit (NCD) banyak berkaitan dengan pemakanan sekali gus risiko kematian komorbid adalah tinggi apabila dijangkiti Covid-19,” katanya ketika melancarkan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat Kebangsaan 2021 dan Inisiatif MyChoice, di sini hari ini.

Bersempena sambutan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat Kebangsaan 2021, Dr Adham mengumumkan Piramid Makanan Malaysia dan Panduan Diet Malaysia terbaharu yang mengandungi perubahan ketara, iaitu kumpulan makanan bagi sayur-sayuran dan buah-buahan diletakkan pada dasar piramid.

Sebelum ini, menurutnya dasar piramid ialah kumpulan karbohidrat seperti nasi, mi, roti, bijirin, produk bijirin dan ubi-ubian.

“Ini menunjukkan kepentingan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam jumlah lebih berbanding kumpulan makanan lain, iaitu sekurang-kurangnya tiga sajian sayur dan dua sajian buah-buahan setiap hari,” katanya.

Mengenai MyChoice, beliau berkata inisiatif itu bertujuan menggalakkan industri perkhidmatan makanan menyediakan hidangan berdasarkan kriteria nutrien yang sihat. — Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu