Nation
68

Covid-19 : Orang ramai rancang sambut Aidilfitri secara sederhana

Kangar –  Keadaan ekonomi tidak menentu akibat penularan wabak Covid-19 mendorong orang ramai memilih berbelanja secara ala kadar untuk menyambut kedatangan 1 Syawal, tidak lama lagi.

Rata-rata mereka yang ditemui Bernama berpendapat sekarang adalah masa untuk berjimat cermat dan membuat simpanan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku apabila tiada tanda-tanda pandemik akan berakhir dalam masa terdekat.

Seorang penjawat awam Nuraini Ahmad, 36, berkata, beliau berbelanja secara ala kadar pada tahun ini seperti mana tahun lalu dan memberi keutamaan kepada persiapan keperluan anak sahaja.

“Perasaan menyambut raya ‘okay’ sahaja, gembira kerana mak memang berada di sini, jadi dapat beraya dengan mak lah,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Ibu kepada dua orang anak itu berkata, beliau hanya membeli barang yang perlu sahaja dan menggunakan apa yang telah dibeli tahun lalu.

“Untuk diri sendiri saya, mungkin akan guna pakaian tahun lepas, yang dibeli pada tahun ini hanya persiapan untuk anak-anak,” katanya.

Turut senada ialah penjawat awam, Nur Amanina Mawaddah Abdul Ghani, 29, yang mengakui bahawa beliau juga berbelanja secara sederhana dan membeli apa yang patut sahaja serta telah membuat persiapan sejak awal tahun.

“Saya rasa agak sedih apabila mendapat tahu kemungkinan besar tidak dapat beraya di kampung halaman (Kedah) seperti tahun lalu, namun demikian saya sudah biasa dengan norma baharu menyambut raya di sini,” katanya.

Katanya, perbelanjaannya untuk menyambut Aidilfitri pada tahun ini juga agak kurang memandangkan rentas negeri masih tidak dibenarkan dan raya di kampung agak mustahil.

Sementara itu, pekerja swasta Aiman Akmal Maliki, 20, berkata, beliau sudah membuat persediaan termasuk menempah baju raya sejak awal lagi.

“Kami takkan buat majlis rumah terbuka disebabkan pandemik dan ziarah terhad kepada jumlah tertentu. Tetamu akan hadir mengikut kuantiti yang dibenarkan,” katanya yang berkerja di sebuah pasar raya di Kangar. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu