Nation
204

Covid-19 : Selangor berdepan ‘lockdown‘

Putrajaya – Selangor bakal berdepan sekatan lebih ketat dalam usaha untuk mengawal penularan Covid-19 dalam kalangan rakyat di negeri itu susulan peningkatan kes secara mendadak yang dilaporkan sejak kebelakangan ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kementeriannya akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan lebih ketat dan secara menyeluruh di negeri tersebut.

Menurut Dr. Adham, beliau secara peribadi bersetuju supaya prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dikuatkuasakan di Selangor memandangkan negeri itu kekal mendahulu kes tertinggi positif Covid-19 sejak beberapa minggu lalu.

“Selepas mengambil kira ketidakupayaan  mengekang Covid-19 di Selangor, melaksanakan PKP penuh di negeri ini adalah satu perkara yang boleh dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) secara dalam talian di sini semalam.

Semalam, Selangor mencatat jangkitan harian tertinggi dengan 1,650 kes positif baharu, sekali gus merekodkan bilangan kes kumulatif keseluruhan sebanyak 155,313 kes sejak Mac tahun lalu.

Sebelum ini juga, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun depan, namun sektor ekonomi masih dibenarkan beroperasi.

Dr. Adham berkata, pelaksa­naan PKP 3.0 membolehkan KKM me­laksanakan lebih banyak ujian saringan, proses pengasingan dan rawatan bagi kes positif Co­vid-19 di negeri tersebut.

Beliau turut mengingatkan warga Selangor supaya mengunjungi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di daerah masing-masing bagi mengelak ke­sesakan.

“Saya menerima maklumat bahawa berlaku kesesakan di CAC Stadium Malawati akhir-akhir ini.

“Kami mengesan kehadiran kira-kira 1,700 kes sehari di CAC Stadium Malawati dan kebanyakan memberi alasan lebih selesa mendapat layanan di CAC itu.

“Saya juga sudah arahkan supaya jumlah petugas ditambah di CAC itu bagi melancarkan operasi,” katanya.

Di Shah Alam, kerajaan ne­geri melaksanakan beberapa langkah dalam menangani penularan Covid-19 termasuk penambahan 150 orang sukarelawan bagi membantu kelancaran operasi khsusunya di CAC Stadium Malawati.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kaunter khas juga akan diwujudkan bagi tujuan tersebut selain mengurangkan risiko jangkitan.

“Calling Centre turut dilaksanakan oleh para sukarelawan perubatan bertujuan membantu mengurangkan beban di CAC bagi penilaian pesakit di rumah,” katanya. – Kosmo Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu