Nation
178

Cuaca antara punca pengeluaran telur ayam kurang

Shah Alam – Keadaan cuaca yang tidak menentu antara punca kurangnya penghasilan dan pengeluaran telur ayam dalam negara, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Beliau berkata faktor berkenaan bukan hanya mempengaruhi hasil keluaran sektor pertanian malah menjejaskan bekalan haiwan ternakan dan perikanan.

Selain itu, faktor yang turut mempengaruhi pengeluaran telur berkurangan adalah susulan kejadian banjir luar jangka baru-baru ini di samping peningkatan kos harga bekalan makanan ternakan yang diimport.

“Kalau ikut trend pengeluaran (telur ayam) kita (sebelum ini), Januari bekalan kurang tapi menjelang Februari bekalan akan meningkat balik kerana perkara ini bermusim,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor ke-44 di sini, malam tadi.

Ahmad berkata kementerian tidak menyangkal dakwaan wujudnya kawalan harga telur ayam di pihak peruncit.

“Kita (kementerian) dapati, memang ada kebenaran berhubung kawalan harga (di pihak peruncit). Orang sentiasa berikan perhatian pada pengeluar. Kita perlu memahami harga dan kos pengeluaran.

“Jadi di situ kita akan sentiasa berikan perhatian melalui kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana kita membekalkan dan kementerian itu memastikan harga (tidak tinggi),” katanya.

Ahmad mengulas laporan sebuah akhbar tempatan semalam berhubung bekalan telur ayam pelbagai gred di seluruh negara yang didakwa bukan sahaja sema­kin berkurangan, malah kebanyakan pasar raya serta kedai runcit berdepan masalah kehabisan stok, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu