Social
285

Cuba bunuh bayi : Pengasuh mengaku tak bersalah

Ipoh – Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan cuba membunuh bayi lelaki dalam asuhannya pada 22 September lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Nursahidah Amran, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu cuba membunuh Raid Hazim Ratno Hidayat berusia tujuh bulan dengan menghentak dan menyebabkan kecederaan di kepala mangsa yang dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Taman Desa Pelancongan 2, di sini antara 7 pagi hingga 2.45 petang, 22 September 2021 dan dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit bersalah.

Nursahidah juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu penganiayaan terhadap mangsa hingga menyebabkan kecederaan fizikal pada waktu, tarikh, dan lokasi sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman dan Afiqah Izzati Mazlan manakala tertuduh diwakili dua peguam, Muhamad Syahrul Nizam Mohd Rabi dan Mohamad Salihen Mastor.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah agar tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh memandangkan keadaan mangsa kes ini yang sedang kritikal selain faktor mangsa dan tertuduh tinggal sangat berdekatan antara satu sama lain.

Bagaimanapun, pihak pembelaan meminta jaminan rendah ditawarkan kepada anak guamnya berikutan pendapatan tertuduh sebelum ini hanya sebagai pengasuh di samping pendapatan suami tertduduh sebagai tukang cuci hanya RM1,200 sebulan.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengacau ganggu saksi dalam kes ini.

Norita turut menetapkan 30 November depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, media melaporkan polis menahan seorang pengasuh wanita berusia 22 tahun selepas disyaki cuba membunuh bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah rumah di Taman Desa Pelancongan, di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, polis menerima satu laporan berkenaan cubaan bunuh terhadap bayi berusia tujuh bulan jam 3.03 pagi, 24 September lalu, lapor BH Online.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu