Nation
94

Cuepacs : Pakej PEMULIH inisiatif yang mendengar denyut nadi serta suara hati rakyat

Kuala Lumpur – Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan semalam merupakan inisiatif yang mendengar denyut nadi serta suara hati rakyat yang begitu terkesan dengan masalah kewangan dan kehilangan punca pendapatan, lapor Bernama.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dalam satu kenyataan berkata pembentangan pakej bernilai RM150 bilion itu secara jelas menunjukkan tiada pihak yang terpinggir dan tertinggal sama ada golongan B40, M40 serta T20.

“ Antara perkara yang menggembirakan rakyat ialah pelaksanaan moratorium pinjaman selama enam bulan kepada semua individu tanpa syarat membolehkan rakyat merancang semula kewangan keluarga masing-masing tanpa perlu bimbang dikejar oleh pihak bank,” menurut kenyataan itu.

Menurut Cuepacs lagi, bantuan kewangan secara terus oleh kerajaan melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Khas Covid (BKC) yang baru diperkenalkan serta Bantuan Kehilangan Pendapatan menunjukkan keprihatinan kerajaan dengan masalah dialami rakyat akibat impak COVID-19, yang ia juga merupakan perangsang untuk ekonomi berkembang semula.

Selain itu, Cuepacs berharap Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan kerajaan sebelum ini dapat bergerak seiring dengan pakej rangsangan yang diumumkan hari ini supaya ia memberi impak yang diharapkan oleh semua pihak.

“ Cuepacs juga berharap semua rakyat dapat memberikan kerjasama menjayakan program vaksinasi kerana ia merupakan langkah terakhir untuk memastikan negara dapat keluar dari kemelut pandemik ketika ini. Kejayaan program vaksinasi akan menjadi pemangkin kepada kejayaan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan yang dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam  mengumumkan PEMULIH berjumlah RM150 bilion yang merupakan kesinambungan daripada tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM380 bilion yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional sejak pandemik COVID-19 melanda negara awal tahun lepas.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu