Nation
363

Cukai tertunggak RM9.41 juta : LHDN mohon batal tuntutan balas Shafee

Kuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengemukakan permohonan untuk membatalkan tuntutan balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung saman LHDN yang menuntutnya membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta.

Menerusi carian sistem mahkamah, permohonan itu difailkan LHDN bagi pihak kerajaan selaku plaintif pada 28 Sept lepas atas alasan antaranya tuntutan balas tersebut merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

LHDN mendakwa tuntutan balas itu bertujuan mempertikai taksiran yang telah dibangkitkan secara berasas, sah dan teratur berdasarkan Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Sebarang pertikaian berhubung taksiran cukai sama ada ia adalah tidak betul, berlebihan atau tidak sah harus didengar di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP),” menurut LHDN dalam permohonan itu.

Penolong Pengarah di Unit Kawalan, LHDN, Cawangan Guaman Kuala Lumpur menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama permohonan itu mendakwa Muhammad Shafee cuba menyalahgunakan proses mahkamah dengan membatalkan Notis-Notis Taksiran Tambahan yang dikenakan terhadapnya melalui tuntutan balas sedangkan beliau telah merayu kepada PKCP yang masih belum mendengar dan memutuskan rayuan tersebut.

Muhammad Shafee, yang memfailkan tuntutan balas pada 11 Ogos lepas, mendakwa taksiran cukai yang dikenakan terhadap beliau adalah tidak tepat dan menyalahi undang-undang selain mendakwa ia sebagai usaha untuk menghalangnya daripada terus mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes jenayah bekas Perdana Menteri itu.

Pada 27 Sept lepas, LHDN memohon supaya kes saman terhadap Muhammad Shafee Abdullah diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan antaranya defendan gagal membayar keseluruhan tunggakan cukai pendapatan dan kenaikan cukai yang dikenakan ke atasnya berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh yang ditetapkan.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes melalui afidavit dan hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

LHDN memfailkan saman itu pada 6 Mei lepas mendakwa sehingga kini, Muhammad Shafee masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan yang dikenakan.

Muhammad Shafee merupakan peguam Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN.

Peguam Wee Yeong Kang, yang mewakili Muhammad Shafee, ketika dihubungi pihak media berkata kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 5 Nov depan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syeela Marlina Uttaman, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu