Social
175

“Cukuplah Sajat, pergi ke mahkamah” : KPN

Langkawi – Polis meminta usahawan kosmetik kontroversi, Nur Sajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman agar keluar dari tempat persembunyian seterusnya ber­hadapan dengan kes di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, buat masa ini, belum ada sebarang perkembangan tentang kedudukan usahawan tersebut.

“Dia masih bersembunyi, kalau dia nak muat naik aktiviti dia, tidak apa lah, kita tunggu kerana jerat tidak akan lupa pelanduk.

“Dia (akan) baliklah,” katanya selepas merasmikan Unit Anjing Pengesan K9 di Pit Latihan Seksyen K9 di sini semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, beliau hairan me­ngapa Sajat mengambil tindakan bersembunyi kerana dia tidak berdepan hukuman berat.

“Dia tidak berdepan dengan satu hukuman yang memboleh­kan dia dipenjara 20 tahun atau hukuman gantung,” ujarnya.

Menurutnya, Nur Sajat juga diminta tidak lagi mencuit hati dan perasaan masyarakat de­ngan memuat naik video di media sosial.

“Saya tahu itu hak peribadi dia, tetapi janganlah bila berada di luar negara iaitu tempat persembunyiannya, dia masih lagi nak mencuit perasaan orang.

“Cukuplah, baliklah dan pergi ke mahkamah,” jelasnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Sajat berkemungkinan berada di luar negara selepas waran tangkap ke atasnya dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 23 Februari lalu.

Usaha mengesan Sajat dite­ruskan dengan kerjasama Polis Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor.

Dalam pada itu, Pasukan Ge­rakan Am Briged Utara tidak menolak kemungkinan Sajat me­nyamar sebagai individu lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Sajat kerana gagal hadir di mahkamah.

Dia didakwa berpakaian wanita di sebuah majlis keagamaan di sebuah pusat kecantikan di ­Shah Alam sehingga menye­babkan agama Islam dipandang hina.

Sajat didakwa mengikut Seksyen 10 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan denda ­maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu