Nation
575

Daerah Keningau, Sabah dikenakan PKP mulai esok

Kuala Lumpur – Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Keningau, Sabah, mulai esok hingga 4 April ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pelaksanaan PKP itu adalah untuk memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar serta mengesan beberapa lagi kontak rapat dan mengawal pergerakan penduduk di daerah itu.

“KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes positif harian secara mendadak di daerah ini dengan 42 kes telah direkodkan hasil saringan secara bersasar di Kampung Lingkudau yang juga telah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di daerah ini,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga memutuskan untuk menamatkan PKPD di Kampung Tanah Merah, Kota Marudu, Sabah esok seperti dijadualkan.

Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko COVID-19, selain baki kes positif di lokaliti itu menunjukkan trend penurunan dan kluster juga adalah terkawal.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 65 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 26 kes positif telah direkodkan,” katanya.

Mengenai task force operasi pematuhan, Ismail Sabri berkata 100 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam, dengan 97 daripadanya dikompaun manakala tiga lagi direman.

Kesalahan gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal merekodkan jumlah kes tertinggi melibatkan 48 individu diikuti gagal menyediakan peralatan merekodkan butiran pelanggan (27), aktiviti pusat hiburan (12), tidak memakai pelitup muka (11) dan aktiviti rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (dua).

Dalam Operasi Benteng semalam, beliau berkata 13 pendatang asing ditahan dan tujuh kenderaan dirampas manakala 39 buah bot dikesan di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan. – Bernama

 

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu