Social
164

Daging kerbau sejuk beku bernilai lebih RM427,000 dirampas

Butterworth – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas 27,998 kilogram (kg) daging kerbau sejuk beku dari India yang bernilai RM427,691.57 kerana maklumat pada sijil halal yang mengelirukan, pada Selasa (22 Jun).

Pengarahnya Noriah Dahlan berkata penguat kuasa MAQIS yang membuat pemeriksaan kontena pada 4.45 petang di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), mendapati 1,449 kotak produk ruminan itu mengemukakan maklumat sijil halal yang mengelirukan, lapor Bernama.

“Hasil pemeriksaan mendapati keseluruhan dagangan tersebut menggunakan maklumat yang mengelirukan iaitu maklumat pada sijil halal yang dikeluarkan dari negara pengeksport adalah tidak tepat dan berbeza dengan maklumat perlabelan pada bungkusan dagangan yang diimport.

“Ekoran itu,kami merampas 27,998 kg daging sejuk beku tersebut untuk siasatan lanjut kerana penggunaan maklumat pada sijil halal yang tidak tepat dan mengelirukan” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) iaitu mana-mana orang yang memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi kesalahan.

Beliau berkata pihaknya sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu