Nation
224

Daging ternakan dijangkiti LSD boleh dimakan : Jabatan Veterinar

Putrajaya – Karkas atau daging daripada ternakan yang dijangkiti Lumpy Skin Disease (LSD) tidak berbahaya kerana LSD bukan penyakit zoonotik, iaitu tidak menjangkiti manusia sama ada secara langsung atau melalui daging, jelas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) hari ini.

Menurut kenyataan jabatan itu, daging ternakan yang dijangkiti boleh dimakan setelah menjalani proses pemeriksaan oleh pihak berkuasa veterinar atau setelah dimasak dengan sempurna kerana virus LSD akan musnah pada suhu 65 darjah Celcius selama 30 minit, lapor Bernama.

DVS berkata semua lembu atau kerbau dijangkiti LSD diwajibkan disembelih di rumah sembelih jabatan dan perlu melalui pemeriksaan veterinar oleh pemeriksa daging jabatan, sebagaimana peruntukan Kaedah-kaedah Pemeriksaan Daging 1985, bagi memastikan daging tersebut sesuai dijual dan dipasarkan sebagai makanan manusia.

“Sekiranya terdapat lesi nodular pada karkas atau daging dan organ dalaman, maka daging akan dilupuskan sepenuhnya berdasarkan prosedur operasi standard Pelupusan Karkas Haiwan Berjangkit. Bagaimanapun, lesi penyakit LSD (nodular) kebiasaannya hanya terdapat pada lapisan kulit ternakan,” kata DVS.

LSD disebabkan virus Poxviridae dan boleh tersebar dalam kalangan ternakan lembu melalui gigitan vektor serangga seperti nyamuk dan sengkenit serta boleh berjangkit melalui rembesan air liur dan hidung ternakan lembu yang terjangkit.

Tanda-tanda klinikal pada ternakan lembu terjangkit ialah nodular pada kulit di sebahagian atau keseluruhan tubuh lembu.

DVS berkata ia juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dengan meningkatkan pemantauan ke atas semua daging di pintu masuk negara dan di pasaran tempatan termasuk sekiranya terdapat daging di pasaran yang berpenyakit dan tidak disembelih di rumah sembelih di bawah jabatan itu.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu