Social
621
0

Da’i Syed didakwa lakukan persetubuhan luar tabii, cabul penuntut

Petaling Jaya – Pendakwah selebriti, Da’i Syed, atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful mengaku tidak bersalah di dua mahkamah di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta, dua bulan lepas.

Syed Shah Iqmal, 25, yang hadir ke mahkamah memakai kemeja-T berwarna biru cair, dilihat tenang ketika membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Faiz Dziyauddin dan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap wanita berumur 22 tahun itu, di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana di sini, antara 3 pagi hingga 4 pagi, 17 Okt lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya P. Vitiya Monisha manakala tertuduh diwakili peguam Syed Amirul Syed Edros.

Terdahulu, Vitiya Monisha tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh atas alasan kesalahan yang dilakukannya adalah serius.

“Tertuduh juga mempunyai beberapa kes lain, selain mangsa dan tertuduh mengenali antara satu sama lain serta kemungkinan tertuduh akan mengganggu mangsa,” katanya.

Vitiya Monisha turut memaklumkan sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, pihaknya mencadangkan jumlah sebanyak RM100,000 berserta syarat tambahan bahawa tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan dan dilarang mengganggu mangsa.

Syed Amirul pula berhujah, walaupun kes itu tidak boleh dijamin, mahkamah masih mempunyai budi bicara untuk membenarkan anak guamnya diikat jamin.

“Sepanjang siasatan dijalankan tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik, malah semasa siasatan bagi kes tangkapan pertama, tertuduh sendiri hadir tanpa bantahan,” katanya.

Faiz kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM20,000 serta seorang penjamin dan dia perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai selain dilarang mengganggu mangsa.

Mahkamah turut menetapkan 19 Feb tahun depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Di Mahkamah Majistret, Syed Shah Iqmal didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya, pada tarikh dan lokasi sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris berkata status tertuduh sebagai da’i bukan alasan untuk dia diberikan jaminan manakala Syed Amirul memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jumlah rendah atas alasan dia menanggung ibunya selepas ditinggalkan bapa sejak 2017.

Mohamad Ikhwan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan bahawa tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai serta menetapkan tarikh sebutan sama pada 19 Feb tahun depan.

Syed Shah Iqmal juga akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan rogol. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu