Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Social

Dakwaan cubaan culik murid disiasat

TAWAU — Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan cubaan culik seorang murid di sebuah kelas prasekolah di sini pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan kejadian itu.

Bagaimanapun katanya, polis sedang giat mengumpul maklumat bagi mengenalpasti kesahihan dakwaan berkenaan sebagaimana yang tular di media sosial termasuk kumpulan Whatsapp sejak semalam.

‘Berkenaan hal ini, sehingga kini pihak polis masih belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak.

“Justeru, kita minta pihak berkaitan atau mana-mana individu serta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil ke hadapan untuk membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan ringkas, di sini, pagi ini.

Terdahulu, tular satu hantaran dikongsikan orang ramai menerusi aplikasi Whatsapp berhubung cubaan culik murid prasekolah di sini, pada petang Isnin lalu.

Walau bagaimanapun, cubaan itu gagal apabila perbuatan itu disedari seorang guru bersama pengawal keselamatan sekolah berkenaan.

Sehubungan itu, Jasmin mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita atau kenyataan yang belum pasti kesahihannya menerusi apa jua aplikasi atau laman media sosial.

“Perbuatan penyebaran berita palsu menerusi aplikasi atau laman media sosial, jika didapati bersalah individu yang menyebarkannya boleh disabitkan atas satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya, lapor BH Online.

Tags: , ,