Nation
396

Dakwaan individu bantu Nur Sajat lolos ke Thailand disiasat

Rawang – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat dari pelbagai aspek termasuk dakwaan dibantu individu lain, berhubung isu ahli perniagaan kosmetik Muhammad Sajjad Kamarul Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang melarikan diri ke Thailand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata siasatan dan maklumat akan diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi menentukan kaedah terbaik agar sempadan negara tidak mudah dibolosi.

“Kami tidak mahu lagi kejadian seperti berlaku pada Nur Sajat yang berjaya melarikan diri dari sempadan negara berulang. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga,” katanya pada sidang media sindiket curi lori di sebuah gudang di Jalan Batu Arang, di sini hari ini.

Abd Jalil berkata Muhammad Sajjad telah dituduh oleh pihak berkuasa Thailand di bawah Akta Imigresen negara itu, namun dia memohon taraf pelarian Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

“Mereka (UNHCR) sedang berusaha membolehkan dia dianggap sebagai pelarian di Thailand,” katanya.

Abd Jalil berkata pihaknya sedang berusaha bersama Kementerian Luar dan pejabat Peguam Negara untuk proses mengekstradisi ahli perniagaan kosmetik itu ke Malaysia.

“Terpulang kepada pihak berkenaan untuk memberi kuasa kepada polis bagi membolehkan dibawa pulang melalui proses undang-undang Malaysia dan antarabangsa. Polis menasihatkan Nur Sajat, sekiranya dia dengar berita ini, kami minta dia pulang dengan cara baik bagi berhadapan kes yang perlu dilaluinya,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan polis dalam proses memohon mengekstradisi Muhammad Sajjad daripada pihak berkuasa Thailand.

Muhammad Sajjad diburu oleh pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Pada 15 Jun lepas, polis turut menjejaki Muhammad Sajjad bagi membantu perbicaraan kes penipuan pertukaran nama dan jantina pada kad pengenalan yang sedang berlangsung di Mahkamah Ampang, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu