Nation
249
0

Dakwaan pemalsuan keputusan ujian COVID-19 akan disiasat – KP Kesihatan

Putrajaya – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyiasat kes keputusan ujian COVID-19 dipalsukan seperti yang didakwa oleh sebuah klinik swasta di Rawang, Selangor baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM akan bekerjasama rapat dengan pihak polis dan Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan isu tersebut dapat dirungkai.

Beliau berkata perbuatan memalsukan keputusan COVID-19 merupakan satu kesalahan dan tindakan boleh diambil di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sebelum menggunakan akta lain bagi tindakan lanjut.

“Bagi makmal-makmal swasta yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan, kementerian sentiasa memastikan pemeriksaan audit dan audit berkala bagi memastikan ujian yang dijalankan itu menepati standard.

“… dan kita (KKM) juga dapat menggunakan Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA) untuk kita mengenal pasti kes kalau ada kes yang dipalsukan,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media berkaitan sebuah klinik swasta di Rawang yang membuat laporan polis selepas mendapati keputusan COVID-19 dipalsukan dan pengasas klinik itu mendakwa pihaknya mengenal pasti hampir 20 kes pemalsuan keputusan COVID-19.

Dr Noor Hisham turut menjelaskan bahawa ‘lain-lain saringan’ merupakan kes positif COVID-19 yang mendapat jangkitan selain daripada kluster yang dikenal pasti.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat beberapa makmal swasta yang masih belum mengintegrasi data berkaitan kes positif COVID-19 menerusi SIMKA dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) harus dimaklumkan secepat mungkin sekiranya terdapat kes positif supaya tindakan bersesuaian dapat dijalankan secepat mungkin.

“Kita juga maklum ada kekangan dari segi pelaksanaan, mungkin keputusan itu lambat dikeluarkan jadi kes yang positif itu duduk di rumah.

“Jadi kita syorkan mereka yang telah menjalani ujian dan disyaki terdedah kepada kes positif duduk di rumah dan menunggu keputusan.

“Kedua, pastikan notifikasi telahpun diberi kepada PKD dan kita akan menyusuli… dan kalau kita ada juga kes-kes yang kita lambat menyusuli, contohnya di Sabah, yang penting duduk di rumah dulu dan kita akan hantar ambulans atau kenderaan ke rumah,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa ramai pesakit COVID-19 yang didapati positif di daerah Klang, Selangor lambat dihantar ke hospital dan ada yang tinggal di rumah sehingga lima hari walaupun positif.

Selain itu, menyentuh keputusan membenarkan tiga Ahli Parlimen hadir ke persidangan Dewan Rakyat minggu ini dengan mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE), beliau berkata penilaian risiko telah dijalankan selaras dengan Akta 342 sebelum keputusan tersebut dibuat. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu