Nation
270

Dakwaan penambahan slot janji temu vaksinasi Covid-19 disiasat

Petaling Jaya – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapatnya penambahan slot janji temu bagi vaksinasi Covid-19 yang mengakibatkan lebihan penerima berbanding vaksin diperuntukkan oleh kerajaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, siasatan dijalankan selepas PDRM menerima satu laporan polis yang dibuat oleh seorang petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di ibu negara.

“Berdasarkan laporan polis yang diterima, pengadu mendakwa wujud lebihan penerima vaksin yang tersenarai di dalam sistem MySejahtera berbanding jumlah vaksin yang diperuntukkan kepada PPV berkenaan.

“Siasatan berhubung perkara itu dibuat di bawah Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997 dan pihak polis sedang dalam tindakan mengambil keterangan daripada beberapa orang saksi berkaitan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mohd. Kamarudin berkata, siasatan masih di peringkat awal dan orang ramai digesa untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu berkenaan.

“Selaras dengan usaha untuk memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjaya direalisasikan, orang ramai dinasihatkan agar dentiasa memberikan kerjasama dan sokongan penuh kepada pihak kerajaan.

“PDRM tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha untuk mensabotaj program yang sedang dilaksanakan sama ada untuk kepentingan individu ataupun sebaliknya,” tegas beliau, lapor Kosmo Online.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu