Social
782

Dakwaan sambut hari bapa, Timbalan Menteri disiasat

Maran – Siasatan mengenai penularan gambar Sambutan Hari Bapa oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib di kediamannya di Sg Ling di sini sedang giat dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abdul Rahman berkata, kertas siasatan telah dibuka oleh Pejabat Kesihatan Daerah selepas mendapat arahan Majlis Keselamatan Negeri susulan penularan gambar berkenaan dalam media sosial.

“Siasatan lanjut diteruskan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Maran.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menganjurkan sebarang bentuk majlis atau perhimpunan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara sepanjang masa agar dapat memutuskan rantaian wabak pandemik Covid-19,”katanya di sini hari ini.

Menurut Norzamri berdasarkan maklumat, gambar yang ditularkan berlaku pada 19 Jun lalu itu diambil oleh jurufoto Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang telah menghantar gambar itu ke dalam kumpulan WhatsApp untuk simpanan mereka.

Katanya, kehadiran dalam perjumpaan tersebut terdiri daripada kakitangan KPKT dan Pejabat Parlimen Maran bertujuan penyediaan bungkusan barangan sumbangan bantuan kepada mangsa Covid-19 serta perbincangan mengenai perancangan menggalakkan pendaftaran vaksin dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Parlimen Maran.

Sementara itu, Ismail gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai kejadian yang tular berkenaan. — Kosmo Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu