Nation
965

Dakwaan serangan seksual: Salinan saman diserah kepada firma guaman wakili Anwar

Kuala Lumpur – Saman yang difailkan bekas pembantu penyelidik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Presiden PKR itu telah diserahkan kepada firma guaman yang mewakilinya melalui serahan tangan.

Saman itu dikemukakan Muhammed Yusoff Rawther selaku plaintif pada 14 Julai lepas berhubung dakwaan berlaku serangan seksual terhadapnya di kediaman Anwar tiga tahun lepas.

Peguam Mahajoth Singh, yang mewakili Muhammed Yusoff, berkata writ saman dan pernyataan tuntutan telah diserahkan hari ini kepada Tetuan Ranjit Singh & Yeoh di pejabat firma guaman itu di Solaris Dutamas di sini.

“Mahkamah juga menetapkan 9 Sept ini untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya ketika dihubungi pemberita selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Idamasliza Maarof.

Dalam pernyataan tuntutannya, Muhammed Yusoff, 28, mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Okt 2018 di kediaman Anwar, 73, di Segambut apabila beliau diminta oleh setiausaha sulit Anwar iaitu Shukri Saad untuk menyerahkan sendiri teks ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-150 Mahatma Gandhi anjuran Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India kepada defendan.

Plaintif mendakwa Anwar telah melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya dan beliau juga menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan itu.

Dakwanya, Anwar ketika itu jelas kelihatan marah serta kecewa dan sebelum beredar, defendan memberitahu plaintif “I want to do this again” (saya mahu melakukan ini lagi) dan plaintif menjawab bahawa beliau sama sekali tidak akan berdua-duaan di dalam bilik dengan defendan.

Selepas kejadian itu, Muhammed Yusoff mendakwa tiada sebarang komunikasi antara mereka untuk tempoh kira-kira sebulan namun plaintif masih bekerja dengan defendan sebelum dipindahkan ke Yayasan Aman.

Plaintif, yang meletak jawatan pada 24 Jun 2019, berkata satu laporan polis dibuat terhadap Anwar pada 7 Dis 2019 serta beliau telah menjalani ujian poligraf (mengesan pembohongan) di Bukit Aman pada 17 Dis tahun sama dan mendakwa defendan enggan menjalani ujian itu.

Muhammed Yusoff berkata Jabatan Peguam Negara kemudian mengeluarkan kenyataan media menyatakan bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwa Anwar.

Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin politik yang menyokong Anwar serta orang awam.

Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi khas, umum, teruk dan teladan, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu