Nation
223

Dana KWAP lesap tetapi tiada laporan polis : peguam

Putrajaya – Mahkamah Rayuan diberitahu bahawa sebahagian besar pinjaman RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mungkin boleh lesap namun tiada laporan polis dibuat.

Peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Harvinderjit Singh berhujah bahawa kecurian boleh berlaku di luar struktur korporat SRC yang pernah menjadi anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan seterusnya diletakkan di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Beliau berkata bekas perdana menteri itu bukan seorang ejen atau diamanahkan dengan RM42 juta yang dikatakan sebahagian daripada RM4 bilion sehingga telah melakukan pecah amanah jenayah.

Dalam hujahan itu, hakim Datuk Vazeer Alam Mydin, salah seorang panel tiga hakim, bertanya bagaimana Lembaga SRC membuat keputusan mengenai RM4 bilion itu?.

Harinderjit: Lembaga SRC tahu bagaimana wang itu masuk tetapi tidak tahu bagaimana ia keluar.

“Wang RM3.8 bilion ditinggalkan ‘di luar struktur korporat SRC’ dan pengarah syarikat tidak mengetahuinya. Ia adalah kecurian. Semasa pemeriksaan balas, bekas pengerusi SRC, Tan Sri Ismee Ismail dan bekas pengarah Datuk Suboh Md Yassin tidak tahu apa yang berlaku dengan wang tersebut,” kata Harvinderjit.

Vazeer Alam: Tetapi tiada laporan polis dibuat?

Harvinderjit: Tidak, hanya orang yang boleh membuat laporan itu adalah Suboh tetapi dia tidak tahu tentang wang yang hilang. Ismee juga terkejut.

“Tiada siapa tampil ke mahkamah untuk mendedahkan status wang itu,” tegasnya.

KWAP meluluskan pinjaman pertama berjumlah RM2 billion kepada SRC International pada 2011 dan pinjaman kedua dengan jumlah sama pada tahun berikutnya.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International.

Rayuan yang didengar oleh panel diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Karim yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam bersambung Isnin ini. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu