Social
143

DAP Pulau Pinang buat laporan polis isu sumbangan vaksin

Georgetown – DAP Pulau Pinang sudah membuat laporan polis terhadap individu yang kononnya menawarkan sumbangan vaksin COVID-19 keluaran Sinovac untuk Pulau Pinang.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata individu yang dinamakan sebagai Yong Chee Kong telah dilaporkan dalam media tempatan bahawa syarikatnya wujud, namun Chow menafikan bahawa DAP negeri pernah menulis surat kepada Yong seperti didakwa.

“Ini adalah satu dakwaan yang amat berat dan tidak berasas. DAP Pulau Pinang tidak pernah menulis surat seperti didakwa, dan satu laporan polis telah dibuat oleh pihak DAP Pulau Pinang di Balai Polis Jalan Patani hari ini.

“Tawaran sumbangan dua juta dos vaksin kepada Pulau Pinang telah menjadi satu kontroversi yang menyimpang daripada tujuan asal pihak kerajaan negeri membangkitkan perkara berkenaan pada sidang media sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chow berkata bukan menjadi hasrat kerajaan negeri untuk berperang mulut dengan mana-mana pihak termasuk kerajaan persekutuan, selain berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung urusan siasatan kelak.

Beliau berkata matlamat utama kerajaan negeri adalah untuk mendapatkan bekalan vaksin tambahan pada kadar segera bagi memastikan kadar vaksinisasi boleh dipercepatkan demi melindungi nyawa serta menyelamatkan ekonomi rakyat negeri ini secara keseluruhan.

Sementara itu, katanya Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pulau Pinang pada 19 Mei lepas telah berbincang mengenai kontroversi itu dan memutuskan tumpuan diberikan terhadap pendekatan terbaik memperoleh bekalan vaksin secepat mungkin bagi memenuhi permintaan rakyat.

Justeru, Chow berkata MMK telah memutuskan menggunakan dana kerajaan negeri bagi membeli vaksin tambahan untuk dihantar segera selain yang bakal dibekalkan oleh kerajaan persekutuan demi kepentingan serta kegunaan rakyat Pulau Pinang.

Bagi tujuan itu, pihaknya telah menghantar surat kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin untuk mendapatkan kebenaran pembelian vaksin secara terus oleh kerajaan negeri daripada syarikat pembekal yang diluluskan oleh kerajaan persekutuan dalam negara ataupun secara langsung daripada syarikat pengeluar.

“Kerajaan Negeri dengan ini mengulangi komitmen untuk mengetepikan perbezaan politik bagi menjayakan kempen melawan pandemik COVID-19 termasuk pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Saya mengambil kesempatan ini memohon maaf kerana tercetusnya kontroversi ini, dan berharap kita akan meneruskan segala usaha dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19 seterusnya demi kebaikan seluruh rakyat di negara ini,” katanya. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu