Nation
263

Darurat: Khairuddin gagal rujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas penyelaras Parlimen Jasin Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk merujuk empat persoalan undang-undang berkenaan keabsahan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung pengisytiharan Proklamasi Darurat, ke Mahkamah Persekutuan.

Persoalan undang-undang itu antara permohonan Khairuddin dalam saman pemulanya terhadap Muhyiddin dan kerajaan selaku defendan bagi mencabar tindakan perdana menteri itu menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi mengekang penularan COVID-19.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Khairuddin selaku plaintif ketika dihubungi pemberita berkata Hakim Datuk Noorin Badaruddin menolak permohonan itu tanpa perintah kos selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak semasa prosiding dalam talian hari ini menerusi aplikasi Zoom.

“Mahkamah juga menetapkan 24 Ogos ini untuk pendengaran permohonan kedua-dua defendan untuk membatalkan saman pemula itu,” katanya yang turut memaklumkan prosiding itu turut disertai Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan S Narkunavathy.

Berdasarkan salinan hujahan bertulis plaintif (Khairuddin), beliau antaranya menghujahkan bahawa keempat-empat persoalan keperlembagaan itu adalah kabur yang mewajarkan satu penentuan secara jelas oleh Mahkamah Persekutuan.

Muhyiddin dan kerajaan menerusi penghujahan bertulis menegaskan semua mahkamah mempunyai kuasa untuk menafsir perlembagaan serta bagi menentukan isu perlembagaan, dan Mahkamah Tinggi patut menentukan isu seperti itu terlebih dahulu.

Pada 12 Jan lepas, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19.

Muhyiddin, pada hari sama, menjelaskan bahawa Jemaah Menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara mengikut Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Antara lain, Perkara 150 (1) memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika baginda berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan terancam. — Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu