Social
76

Datuk, adik didakwa buat tuntutan palsu minyak masak subsidi

Kuala Lumpur – Dua beradik pemilik syarikat pembungkusan minyak masak subsidi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, masing-masing atas 52 pertuduhan berhubung tuntutan palsu pembekalan minyak masak kepada syarikat-syarikat peruncit berjumlah lebih RM1.5 juta, dua tahun lepas.

Datuk Mohd Farid Mohamad Ali, 42, dan adiknya, Mohd Fadhil, 38, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, lapor Bernama.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-52, Mohd Farid didakwa telah memberikan suatu dokumen iaitu Penyata Tuntutan Bayaran Bantuan Kewangan Kepada Kilang Penapis/Pembungkus Minyak Masak Sawit Tulen yang mengandungi butiran matan palsu bagi tempoh antara Januari 2019 hingga Mac 2020 berjumlah keseluruhan RM1,596,341.40 kepada tiga orang kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Tuntutan tersebut mengandungi butiran matan palsu iaitu maklumat penjualan minyak masak kepada syarikat-syarikat peruncit yang mana tertuduh tahu bahawa penjualan minyak masak itu sebenarnya tidak dibuat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat bahagian Subsidi dan Bekalan, Cawangan Analisa Perakaunan Industri, Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, KPDNHEP, Putrajaya, antara Januari 2019 hingga Mac 2020.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap, dan jika butir matan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohd Fadhil pula didakwa atas 52 pertuduhan bersubahat dengan Mohd Farid untuk melakukan kesalahan sama, di tempat dan masa serupa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama yang membawa hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohd Farid juga mengaku tidak bersalah atas 52 pertuduhan pilihan berhubung kesalahan sama dan perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh dengan niat supaya dokumen palsu terbabit digunakan bagi tujuan menipu, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Fadhil turut mengaku tidak bersalah atas 52 pertuduhan pilihan bersubahat dengan Mohd Farid untuk melakukan kesalahan sama mengikut seksyen serupa.

Dalam pada itu, Mohd Farid juga mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menerima wang berjumlah RM192,433.20 daripada akaun Hong Leong Bank milik KPDNHEP yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Bank Islam milik Syarikat Temasek Growth Sdn Bhd, yang dia merupakan pengawal akaun syarikat berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank Islam Malaysia Berhad, cawangan Menara Bank Islam Kuala Lumpur antara 19 Mac hingga 19 Oktober 2019 mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 dibaca bersama subseksyen 87(1) dan boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Subseksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan, atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi dan Maziah Mohaide manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Nor Izzat Nordin dan Keshwinder Singh.

Mahkamah membenarkan Mohd Farid diikat jamin RM150,000 untuk kesemua pertuduhan dan jaminan RM100,000 bagi Mohd Fadhil, masing-masing dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.

Sebutan kes ditetapkan pada 1 Sept.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu