Kuala Lumpur Post

Social

Datuk, anak lelaki didakwa tipu kerajaan Sabah royalti emas RM1.3 juta

KOTA KINABALU — Dua beranak dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini masing-masing atas 24 pertuduhan menipu kerajaan Sabah dengan tidak mengisytiharkan hasil penjualan kuantiti jongkong emas yang sebenar dalam dokumen invois melibatkan kerugian royalti kira-kira RM1.3 juta.

Tertuduh Datuk Lo Fui Ming, 67, dan anaknya, Lo Teck Yong, 42, kedua-duanya bekas pengarah sebuah syarikat perlombongan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Kedua-dua tertuduh didakwa telah menjual 26 jongkong emas secara haram kepada syarikat pembeli di mana jongkong emas dijual itu tidak diisytiharkan dalam dokumen invois yang dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) negeri bagi tujuan pengiraan bayaran royalti sebanyak lima peratus daripada hasil jualan jongkong emas yang dilombong dan dihasilkan di Bukit Mantri, Tawau.

Menurut syarat perjanjian pajakan tanah dan perlombongan mineral dengan JTU, syarikat berkenaan disyaratkan untuk membayar royalti sebanyak lima peratus daripada hasil penjualan mineral emas yang dilombong di Bukit Mantri kepada JTU.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan sejak Oktober 2019 hingga Mac tahun ini.

Fui Ming berhadapan 24 pertuduhan di bawah Seksyen 418 Kanun Keseksaan, manakala Teck Yong berhadapan 24 pertuduhan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 418 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Jason kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM100,000 selain pasport antarabangsa kedua-dua tertuduh juga diserahkan kepada mahkamah dan turut menetapkan 8 Dis depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lim Wai Keong manakala tertuduh diwakili peguam Zahir Shah.

Tags: , , ,