Social
395

Datuk didakwa tipu jualan saham RM400,000

Ipoh – Seorang pemaju bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki berkaitan penjualan saham syarikat melibatkan wang tunai sebanyak RM400,000 pada 2017.

Datuk Chin Yoon Seong, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohammad ‘Afifi Mohammad Deen, lapor Bernama.

Chin didakwa menipu Lee Wan How, 36, dengan memperdayakan lelaki itu untuk mempercayai bahawa dia akan menjual saham syarikatnya dan mendorong Lee menyerahkan wang tunai berjumlah RM400,000.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Times Square Ipoh, Jalan Raja Dr Nazrin Shah di sini pada 6 dan 12 Jan 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiqah Izzati Mazlan manakala tertuduh diwakili peguam Raam Kumar.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu