Social
183

Datuk Seri antara 32 individu dikompaun

Bukit Mertajam – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dan seorang wanita hamil lima bulan bersama suaminya antara 32 individu yang dikompaun kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Gemilang, di sini, tengah malam tadi.

Dalam serbuan Op Noda pada jam 12.05 tengah malam itu, terdapat 32 individu didapati sedang leka berhibur dalam premis berkenaan.

Ketika pemeriksaan terdapat lelaki bergelar Datuk Seri berusia 60 tahun yang sedang menyambut hari lahir rakannya di sebuah bilik khas dalam pusat hiburan terbabit.

Pemeriksaan lanjut di bilik berasingan mendapati seorang wanita hamil lima bulan sedang berhibur dengan suaminya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata keseluruhannya terdapat 32 individu berusia lingkungan 20-an hingga 60-an dalam pusat hiburan berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati kesemua individu itu hadir untuk berhibur termasuk ada yang mengadakan sambutan hari lahir.

“Kesemua mereka dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 mengikut Peraturan 19(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No4) 2021 (Akta 342),” katanya hari ini.

Beliau berkata, polis turut menahan seorang pekerja lelaki warga Bangladesh dan seorang pekerja wanita warga Vietnam mengikut Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/1963

kerana tinggal di Malaysia tanpa permit sah. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu