Social
897

Datuk Seri cabul anak kandung selama 10 tahun

Kuala Lumpur –  Lelaki bergelar Datuk Seri akan didakwa atas pertuduhan mencabul anak kandungnya selama lebih 10 tahun.

Perbuatan jijik lelaki berusia 50 tahun itu terbongkar apabila anak perempuannya yang berusia 20 tahun nekad membuat laporan polis pada 14 Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, bertindak atas laporan itu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) segera menjalankan siasatan.

Bagaimanapun, menurutnya siasatan mengambil masa untuk dilengkapkan berikutan kejadian cabul berlaku dalam jangka masa yang panjang.

“Hasil siasatan dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk pandangan dan nasihat. TPR memberi arahan kepada polis untuk mengambil beberapa tindakan bagi melengkapkan siasatan.

“Pada 25 Februari lalu, kertas siasatan itu dirujuk semula kepada TPR selepas mengambil tindakan diarahkan.

“Semalam, polis menerima arahan untuk pertuduhan oleh Jabatan Peguam Negara mengikut Seksyen 354 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saiful berkata, suspek akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pada 23 Mac ini memandangkan keadaan kesihatan suspek yang tidak mengizinkan.

Justeru, katanya, laporan sebuah media yang mengatakan pihak pendakwaan dan polis mengambil masa lama untuk menuduh suspek adalah tidak tepat.

Beliau berkata, kertas siasatan kes itu perlu dirujuk kepada TPR beberapa kali memandangkan kes berlaku sejak 10 tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga akan memohon Perintah Perlindungan (PO) selepas pertuduhan dilaksanakan bagi melindungi mangsa dan adik-beradik lain daripada sebarang gangguan oleh suspek.

“Sebelum ini, mangsa menolak untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Interim (IPO) kerana ia hanya untuk dirinya saja tapi dia mahukan adik-beradik juga dilindungi,” katanya. – Harian Metro

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu