Kuala Lumpur Post

Social

Datuk Seri didakwa meterai perjanjian, terima wang RM100,000

KUALA LUMPUR — Bekas pengarah syarikat pembinaan bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga tuduhan memeterai perjanjian dan menerima wang RM100,000 tanpa kelulusan mesyuarat agung syarikat, tujuh tahun lalu.

Jalil Siam, 62, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin.

Mengikut pertuduhan, Jalil didakwa memeterai perjanjian usaha sama bagi pihak Ghaz Properties Sdn Bhd dengan sebuah syarikat lain tanpa kelulusan mesyuarat agung, untuk mendapatkan manfaat secara langsung kepada dirinya.

Dia juga didakwa menggunakan harta Ghaz Properties Sdn Bhd bagi manfaat dirinya dengan menerima wang melalui pindahan dana berjumlah RM1,050 dan 20 transaksi tunai RM98,950 ke akaun Maybank milik OKS selepas memeterai perjanjian berkenaan bertarikh 8 Mei 2017.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 8 Mei dan 14 Julai 2017 mengikut Seksyen 218(1)(a) dan (c) Akta Syarikat 2016 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 218(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda hingga RM3 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Mohd Iqbal Mohd Yusoff, manakala OKS diwakili peguam N Pramod.

Sebutan semula kes ditetapkan 15 Mac ini.