Social
174

‘Datuk Seri’ dikenakan waran tangkap

Shah Alam – Mahkamah Sesyen di sini hari ini, mengeluarkan waran tangkap kepada seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’, apabila gagal menghadirkan diri bagi pertuduhan kes menyelesaikan dan melepaskan 22 orang warga China.

Perintah tersebut dikeluarkan Hakim Rozilah Salleh, setelah pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fadhli Ab Wahab, memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh.

Terdahulu, peguam bela T. Tamil Salvan yang mewakili tertuduh Mohammed Al Faizal Mohammed, 45, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya kini berada di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, kerana mengalami artritis.

Tamil Salvan berkata anak guamnya tidak sempat memberitahu mahkamah dan jelasnya, beliau juga baru dimaklumkan mengenai keadaan tertuduh itu, hari ini.

Rozilah kemudian bertanya kepada pihak pembelaan, sama ada hospital tersebut ada mengeluarkan surat yang menyatakan ahli perniagaan itu tidak boleh ke mahkamah, dan beliau mengarahkan Tamil Salvan mendapatkan pengakuan bahawa Mohammed Al Faizal, tidak mampu menghadirkan diri pada prosiding berkenaan atas faktor kesihatan.

Bagaimanapun, Fadhli memaklumkan bahawa pihak pendakwaan sudah berhubung dengan hospital berkenaan dan dimaklumkan bahawa mereka sudah membenarkan tertuduh hadir ke mahkamah hari ini.

Namun, katanya tertuduh memilih untuk tidak hadir pada prosiding pendakwaan itu, dan mahkamah memutuskan pertuduhan terhadap kes itu dilaksanakan esok.

Terdahulu, Mohammed Al Faizal sepatutnya menghadapi dua pertuduhan termasuk satu pertuduhan pilihan menyelesaikan dan melepaskan 22 orang warga China, yang telah ditangkap oleh polis dan diletakkan dalam tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atas kesalahan menjalankan aktiviti judi dalam talian.

Pada 18 Mac lalu, tertuduh telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan termasuk dua pertuduhan pilihan, iaitu secara rasuah menerima suapan berjumlah RM176,000 daripada seorang ahli perniagaan sebagai dorongan untuk membantu melepaskan 22 warga China dari tahanan polis dan JIM. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu