Social
193

Datuk Seri mengaku tidak bersalah

Shah Alam – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua tuduhan termasuk tuduhan pilihan meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM400,000 pada tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Seri Mohammed Al Faizal Mohammed Ibrahim, 45, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kertas pertuduhan utama, dia didakwa secara rasuah meminta suatu suapan, iaitu wang berjumlah RM300,000 daripada Lim Seng Chye, 41 sebagai dorongan untuk membantu melepaskan 22 orang warganegara China daripada tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.

Bagi pertuduhan pilihan, dia didakwa secara rasuah bersetuju untuk menerima, iaitu wang berjumlah RM176,000 daripada individu yang sama sebagai dorongan untuk membantu melepaskan 22 orang warganegara China daripada tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Kampung Baru Subang pada 22 September tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin warganegara serta syarat tambahan, tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Selangor pada minggu pertama setiap bulan.

Terdahulu, Hakim Rozilah membatalkan waran tangkap terhadap Mohamed Al Faizal yang dikeluarkan selepas tertuduh gagal menghadiri prosiding pendakwaan kes yang sepatutnya berlangsung semalam.

Rozilah turut memberi amaran bahawa mahkamah tidak akan memaafkan sekiranya tertuduh mengulangi perbuatan itu.

Sebutan semula kes akan dilakukan bersama satu lagi kes membabitkan tertuduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 21 April ini.

Terdahulu, tertuduh yang diiringi pegawai SPRM tiba di perkarangan mahkamah pada jam 8.45 pagi dengan berkerusi roda.

Semalam, Hakim mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohammed Al Faizal selepas dia gagal hadir ke mahkamah untuk pendakwaan.

Peguam yang mewakili tertuduh, T Tamil Salvan memaklumkan bahawa anak guamnya itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, kelmarin kerana mengalami arthritis. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu