Social
358

Dendam lama punya pasal

Kuala Lumpur – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Jalan Telawi, Bangsar, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa yang terbunuh berusia 28 tahun dilaporkan sedang berjalan kaki bersama rakannya menuju ke tempat letak kereta selepas minum di sebuah restoran di Jalan Telawi, di sini.

Semasa menuju ke kenderaannya, mangsa terjumpa dengan suspek yang dipercayai mempunyai dendam lama sebelum berlaku pertengkaran sehingga berlaku pergaduhan.

Akibat pergaduhan itu, mangsa mengalami kecederaan serius dipercayai akibat ditoreh dengan senjata tajam selain ditikam dengan botol minuman keras.

Mangsa kemudian melarikan diri ke arah sebuah pusat beli-belah sebelum terbaring di hadapan sebuah kedai serbaneka sebelum dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) oleh rakannya.

Dia kemudian disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di PPUM.

Seorang lagi lelaki berusia 30 tahun pula cedera parah di bahagian muka sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sumber juga berkata, mangsa dan suspek yang terbabit dalam kejadian ini dilaporkan mengenali antara satu sama lain dan tinggal di kawasan sekitar Selayang dan Taman Wahyu, di sini.

Difahamkan, pada masa ini, pihak polis sedang mengesan lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Terdahulu video pergaduhan ini yang dipercayai dirakam oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian didapati tular dalam media sosial. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu