Nation
137

Dewan Rakyat bersidang dalam semangat politik baharu

Kuala Lumpur – Sidang Dewan Rakyat yang membuka tirai minggu ini berlangsung dalam semangat politik baharu dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH).

Detik bersejarah itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ketua-ketua parti dalam PH, kira-kira 5 petang Isnin (13 Sept) di bangunan Parlimen itu membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Memorandum yang didedahkan kepada umum itu mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Ia antaranya menyatakan kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022, selain PH bersetuju mengambil pendirian menyokong atau berkecuali bagi undi Belanjawan 2022 dan undang-undang perbekalan atau kewangan berkaitan, serta proses penggubalan rang undang-undang tersebut dirunding dan dipersetujui secara bersama.

Kerjasama itu selaras titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada hari sama yang menasihatkan semua pihak supaya mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa-apa jua permasalahan.

Rentetan itu, perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada Selasa dan Rabu banyak berkisar kepada memorandum persefahaman dengan rata-rata Ahli Parlimen baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang menyambut baik inisiatif Perdana Menteri itu.

Ada dalam kalangan pembangkang memperincikan lebih lanjut syarat-syarat persefahaman, dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Memorandum Transformasi dan Kestabilan Politik kepimpinan Ismail Sabri jelas menegaskan persefahaman pihak pembangkang untuk menolak jika tiada rundingan.

Wakil dari Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berkata walaupun parti Warisan kekal dengan pendirian untuk menjadi blok ketiga yang memainkan peranan semak dan imbang kepada persefahaman itu, beliau menyifatkan elemen rentas parti dilaksanakan melalui MoU terbabit adalah perkembangan positif dalam mencapai politik matang.

“Parti Warisan akan terus komited untuk memperjuangkan isu-isu negara secara bipartisan dengan kerajaan. Keutamaan diberikan terhadap isu-isu yang mempunyai implikasi secara langsung kepada rakyat,” katanya yang mengambil bahagian pada hari ketiga persidangan.

Namun, bukan sidang Dewan Rakyat jika tidak diselit dengan pertikaman lidah dalam kalangan Ahli Parlimen yang membawa kepada kekecohan, dan kali ini ia menyebabkan RSN Rayer (PH-Jelutong) diarah keluar dewan selepas enggan menarik balik perkataan ‘memalukan’ yang dikeluarkan terhadap Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Kekecohan itu hadir pada hari kedua persidangan apabila isu mengenai usul untuk menggantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dibangkitkan Ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Dalam pada itu, kerjasama politik bagi menyelesaikan masalah dan memulihkan keadaan negara yang diselubungi pandemik COVID-19 menjadi antara isu dibangkitkan kebanyakan Ahli Parlimen ketika perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Sementara itu, Dewan Rakyat meluluskan usul penangguhan pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ke persidangan akan datang bagi membolehkan pindaan Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan dibuat untuk menambah jumlah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang.

Usul pemilihan bagi jawatan itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat kali ini ekoran peletakan jawatan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 23 Ogos lepas.

Bagaimanapun, Azalina membuat kejutan apabila muncul mempengerusikan sementara persidangan Dewan Rakyat pada sesi petang hari ketiga dengan memberi penjelasan beliau sebenarnya diminta Azhar untuk berbuat demikian mengikut Perkara 7 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 ini berlangsung selama 17 hari dan dijadual berakhir 12 Okt, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu