Social
153

Didakwa bunuh anggota polis

George Town – Seorang penjual kuih yang menyebabkan kematian seorang anggota polis dalam kejadian di Jalan Utama di sini, pada Sabtu lalu, didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas kesalahan membunuh.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Arafat Taufik, 35, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Manomani.

Mohd Arafat yang dilihat tenang sepanjang prosiding sekadar menjawab faham ketika pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Muhammad Iqbal Mazlan, 22, dengan menunggang motosikal secara berbahaya dan menghimpitnya sehingga mengakibatkan mangsa jatuh dan meninggal dunia.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Utama antara jam 1 dan 2 pagi pada 17 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan, memohon mahkamah menetapkan semula tarikh bagi pengurusan dokumen.

Peguam tertuduh, G Shanmugam pula memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Anak guam saya mengalami kecederaan dan dia perlu dirawat. Saya meminta polis supaya membawanya ke hospital,” katanya.

Majistret Jamaliah Abd Manap menetapkan 23 Jun ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Shanmugam ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, anak guamnya mengalami kecederaan di belakang badan dan tangannya selepas terjatuh dari motosikalnya pada hari kejadian.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Muhammad Iqbal maut selepas dihimpit penunggang motosikal yang positif dadah dan mempunyai 11 rekod jenayah ketika mengejarnya.

Mangsa berpangkat konstabel bersama dua lagi anggota polis yang bertugas sedang melakukan rondaan, mengejar penunggang motosikal itu sebelum dihimpit suspek. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu