Social
388

Didakwa cabul jururawat di wad Covid-19

Butterworth – Seorang pengusaha kedai runcit dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mencabul seorang jururawat wanita dalam kejadian di wad COVID-19, Hospital Kepala Batas (HKB) pada 8 Mac lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Ridi, 55, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret M Kalaiarasi.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan maksud mencabul kehormatannya dan kesalahan itu didakwa dilakukan dalam Wad 3B Hospital Kepala Batas iaitu wad COVID-19 pada jam 11.30 pagi 8 Mac lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma’ ‘Amira Shahidani, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Izad Buqhary Mohd Kamri.

Ketika prosiding, Asma’ memohon mahkamah menetapkan RM10,000 sebagai wang ikat jamin tertuduh, namun pihak pembelaan memohon ia dikurangkan atas faktor anak guamnya sudah berusia dan mempunyai penyakit jantung.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, polis menahan seorang lelaki pada Isnin lalu selepas menerima laporan daripada seorang jururawat wanita berusia 24 tahun yang mendakwa dirinya menjadi mangsa cabul ketika melakukan prosedur pemeriksaan paras gula dalam darah pesakit itu.

Mangsa berkata, suspek bertindak mengusap jari dan memegang tangannya sambil mengeluarkan perkataan jelik. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu