Social
209
0

Didakwa cuba bunuh anggota polis

Butterworth – Seorang operator kilang dan rakan wanitanya didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas tuduhan cuba membunuh seorang anggota polis ketika melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Jalan Song Bang Kheng, dekat sini pada 31 Disember lalu.

Tertuduh, Muhammad Syafiq Mohd Ansari, 30 dan Nurul Fatin Azira Saiful Hadi, 18,

masing-masing mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa mencapai niat bersama cuba membunuh Sarjan Mejar Abdul Wahab Noor, di lokasi kejadian dalam daerah Seberang Perai Tengah, dekat sini, jam 11.40 malam pada 31 Disember lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman di bawah kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya S Preeya Darrsini, memohon mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin memandangkan kesalahan jenayah berat dilakukan.

Bagaimanapun, peguam mewakili Muhammad Syafiq, Mohd Izad Buqhary Mohd Kamri, memohon budi bicara mahkamah supaya anak guamnya diberikan ikat jamin dengan alasan tertuduh perlu membantu menyara adiknya yang masih kecil.

Nurul Fatin yang tidak diwakili peguam turut memohon dibenarkan ikat jamin memandangkan perlu menjaga ibu serta dua adiknya yang masih bersekolah.

Hakim membenarkan masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan supaya kedua-dua tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap 15 haribulan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 8 Februari depan. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu