Social
150
0

Dipenjara lagi kerana tampar ibu sehingga patah gigi, ugut bunuh

Kuala Lumpur –  Penagih dadah yang baru dua minggu keluar penjara kerana mengugut ibunya, hari ini dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, atas dua pertuduhan mencederakan ibunya dengan menamparnya sehingga patah gigi dan mengugut mahu membunuh wanita terbabit.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Azli Rahim, 41, selepas dia mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan dihadapinya dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 13 Februari lalu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bagi setiap pertuduhan dihadapi tertuduh dan memerintahkan hukuman pemenjaraan itu berjalan secara serentak iaitu lima bulan sahaja.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Mohd Azli didakwa mencederakan ibunya, Rohani Sulaiman, 65, dengan menampar muka dan paha wanita itu serta mengugut mahu memukul dan membunuh mangsa, di Perumahan Pantai Permai, Jalan Pantai Dalam, Brickfields, di sini, kira-kira 10 pagi, 13 Februari lalu.

Bagi pertuduhan mencederakan, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Sekyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan mengugut pula pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Difahamkan, tertuduh bertindak sedemikian selepas ibunya enggan memberikan wang yang diminta untuk membeli dadah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif memohon hukuman setimpal memandangkan tertuduh baru sahaja keluar dari penjara pada 2 Februari lalu atas kesalahan mengugut ibunya pada 21 Ogos 2020, selain mempunyai rekod kes dadah namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu