Social
244

Ditahan kerana halang kerja bomba padam kebakaran

Johor Bahru – Seorang warga emas ditahan kerana disyaki menghalang kerja anggota bomba memadamkan kebakaran rumah di Jalan Maju 3, Taman Pelangi, di sini, tengah malam tadi.

Dalam insiden kira-kira jam 12.10 tengah malam, lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu didakwa cuba menutup injap air di jentera bomba ketika usaha pemadaman api sedang dijalankan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I Mohd Suhaimi Abdul Jamal, berkata terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran membabitkan dua kediaman di lokasi terbabit.

Susulan itu, katanya, anggota daripada BBP Larkin dan BBP Tebrau bersama tiga jentera, dua kenderaan utiliti serta dua Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke tempat kejadian.

Seterusnya, beliau berkata, anggota melaksanakan kerja pemadaman api dengan menggunakan empat pancutan sumber air daripada pam jentera.

“Namun ketika penghujung kerja memadamkan kebakaran itu, seorang lelaki dipercayai penagih dadah muncul dan cuba mengganggu usaha pihak bomba dengan cuba menutup injap air di jentera.

“Justeru, pihak bomba terpaksa menahan lelaki itu kerana mengganggu anggota menjalankan tugas.

“Lelaki itu kemudian diserahkan kepada anggota polis yang hadir ke lokasi kejadian sebelum dibawa ke Balai Polis Taman Pelangi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Suhaimi berkata difahamkan, lelaki itu adalah penyewa salah sebuah rumah yang terbakar dan disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan.

Beliau berkata, kebakaran itu memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan rumah pertama, manakala sebuah lagi kediaman pula 10 peratus.

Katanya, operasi kemudian ditamatkan pada jam 1.44 pagi. – BH Online

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu