Social
296

Doktor antara 6 ditahan edar dadah

Petaling Jaya – Seorang doktor hospital kerajaan antara enam lelaki yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah dalam serbuan di Taman Sri Manja, di sini.

Dalam serbuan kira-kira jam 10 malam semalam itu, polis merampas 11 peket plastik lut sinar berisi ketulan mampat daun kering, disyaki ganja seberat 1.9 kilogram (kg), dianggarkan bernilai RM4,900 serta wang tunai RM1,450.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata semua suspek berusia antara 26 hingga 30 tahun dan seorang daripadanya ialah doktor hospital kerajaan di Selangor.

Katanya, menerusi serbuan itu pihaknya turut merampas empat kereta dan sebuah motosikal dengan nilai rampasan dianggarkan RM139,000.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan, keputusan menunjukkan lima daripadanya positif dadah jenis ganja, manakala seorang lagi negatif.

“Semakan mendapati keenam-enam suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalan kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, semua suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, semua dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada kira-kira 1,913 penagih.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis menahan seorang lelaki tempatan yang mempunyai 11 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah kerana mencederakan seorang juruwang kedai serbaneka dengan botol minuman keras, awal pagi tadi.

Suspek berusia 34 tahun itu pada mulanya masuk ke kedai serbaneka di pekan Sungai Way kira-kira jam 11.15 malam tadi dan cuba melarikan dua botol minuman keras serta sebotol air mineral, dianggarkan bernilai RM150.

Mohamad Fakhrudin berkata, juruwang kedai serbaneka terbabit cuba menghalang suspek keluar, namun lelaki itu memukul kepalanya dengan botol minum keras.

“Kejadian itu disedari rakan manga yang berada di tingkat atas kedai, selepas terdengar jeritan mangsa sebelum bergegas turun ke bahagian kedai.

“Dia menemui rakannya terbaring dan kepalanya berlumuran darah, namun suspek sudah melarikan diri. Mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan,” katanya.

Mangsa dan rakannya lelaki warga asing, masing-masing berusia 24 dan 32 tahun.

Dalam pada itu, pasukan polis dari Balai Polis Sungai Way yang menerima laporan kejadian berjaya menahan suspek di jalan 51A/241 Sungai Way, kira-kira jam 12.50 tengah malam tadi.

“Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan kes dadah dan lima kes lampau berkaitan jenayah.

“Suspek kini direman enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya. – BH Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu