Social
228

‘Doktor’ ditahan dalang utama sindiket dadah

Sipitang – Seorang lelaki dikenali sebagai ‘doktor’ yang dipercayai dalang utama sindiket pengedaran dadah di sekitar daerah ini, akhirnya ditahan polis.

Turut diberkas, dua lagi rakannya dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pasir, di sini, jam 11.30 pagi, 8 Julai lalu.

Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang, hasil risikan dan maklumat orang ramai.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, ketika serbuan di rumah berkenaan, pihaknya menahan dua lelaki dan menemui paket plastik lut sinar pelbagai saiz di dalam satu kotak di atas meja.

Katanya, risikan dan maklumat kemudian membawa penahanan seorang lagi lelaki dipercayai ahli rangkaian sindiket didalangi doktor terbabit.

“Salah seorang yang ditahan dikenali dengan nama gelaran Doktor@Ajak. Suspek terbabit berperanan sebagai pengedar syabu, manakala dua rakannya itu ada ahli sindiketnya.

“Suspek dipercayai mengedar dalam bentuk set atau ‘bal’ dengan berat antara 5.0 gram hingga 500 gram dengan harga RM20 hingga RM5,000 di sekitar daerah ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Champin berkata, dengan tertangkapnya Doktor@Ajak ini, polis dapat melumpuhkan sindiket pengedaran syabu di daerah berkenaan.

“Rampasan dadah syabu ketika serbuan bernilai RM10,000. Siasatan juga mendapati suspek terbabit tidak pernah ditangkap selama ini.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek didapati positif syabu,” katanya.

Menurutnya, suspek doktor berusia lingkungan 50 tahun dan dua lagi suspek berusia masing-masing 30 tahun kini direman untuk siasatan lanjut.

“Soal siasat sedang dijalankan bagi mengesan beberapa lagi individu yang terbabit dalam sindiket dadah ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati, jika disabitkan kesalahan,” katanya, lapor Harian Metro.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu