Social
286

Doktor ditahan rakam pembantu wanita dalam tandas

Kuala Lumpur – Polis menahan seorang doktor lelaki kerana disyaki merakam seorang pembantunya ketika wanita itu berada di dalam tandas sebuah klinik swasta di Petaling Jaya, kelmarin.

Perbuatan itu disedari mangsa kira-kira jam 2 petang selepas ternampak satu telefon bimbit berada dalam kedudukan tinggi dalam keadaan aplikasi kamera terpasang ketika dia masuk ke tandas berkenaan.

Mangsa kemudian mengambil telefon bimbit berkenaan dan terus keluar daripada klinik berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata mangsa yang berusia 30 tahun bertindak demikian kerana terkejut dengan perbuatan suspek selain berasa malu dan terganggu.

“Bagaimanapun, tindakan mangsa yang mahu keluar daripada klinik secara tergesa-gesa itu disedari oleh suspek dan lelaki itu bertindak menghalangnya.

“Suspek kemudian meminta mangsa memulangkan semula telefon itu dan berjanji akan menghapuskan rakaman berkenaan di hadapannya,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, mangsa bersetuju menyerahkan kembali telefon bimbit berkenaan kepada suspek dan lelaki itu juga menunjukkan yang dia memadam rakaman berkenaan di hadapan mangsa.

“Bagaimanapun, wanita itu tidak nampak apakah kandungan rakaman yang dipadamkan oleh suspek.

“Justeru, mangsa membuat satu laporan polis pada jam 2.30 petang, semalam,” katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, ekoran aduan yang diterima daripada mangsa itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan suspek berusia 46 tahun di sebuah lokasi di Petaling Jaya kira-kira jam 7.30 semalam.

“Kita turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya, lapor BH Online.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu