Nation
140

Doktor kontrak, sijil vaksin antara fokus Dewan Rakyat hari ini

Kuala Lumpur – Perancangan masa depan untuk doktor-doktor kontrak, maklumat penerima vaksin yang tidak mempunyai kad pengenalan diri serta tindakan terhadap golongan yang memalsukan sijil vaksin, antara isu yang bakal dikupas dalam persidangan Parlimen hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat yang bermula 10 pagi itu, persoalan mengenai rancangan untuk menjamin masa depan doktor kontrak akan diajukan Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) kepada Menteri Kesihatan, dalam sesi jawab lisan.

Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) pula meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan tindakan proaktif kerajaan terhadap maklumat penerima vaksin yang tidak mempunyai kad pengenalan diri, terutamanya di Sarawak dan tindakan terhadap isu individu tanpa pengenalan diri.

Turut bertanya kepada kementerian yang sama, Shaharizukirnain Abd. Kadir (PAS-Setiu) mengenai tindakan yang akan dikenakan ke atas golongan yang memalsukan sijil suntikan vaksin.

Selain itu, antara isu lain yang bakal diketengahkan adalah langkah dilakukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi memastikan masyarakat Orang Asli tidak tercicir daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), sebelum menyambung semula perbahasan Titah Diraja.

Turut dijadual dibentangkan bagi bacaan kali kedua ialah Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020, Rang Undang-Undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Rabu adalah mesyuarat hari kedua di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 17 hari sehingga 12 Okt, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu