Social
201
0

Doktor pakar sakit puan didakwa palsukan borang daftar kelahiran

Alor Setar – Seorang doktor pakar sakit puan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memalsukan borang daftar kelahiran bayi yang bertujuan memudahkan perbuatan pemerdagangan orang dan menipu antara Januari 2014 dan Februari lepas.

Tertuduh Dr Yeoh Gim Hooi, 51, yang bertugas di sebuah hospital swasta di sini membuat pengakuan itu secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 2, Murtazadi Amran dan Hakim Mahkamah Sesyen 4, Juraidah Abbas selepas pertuduhan itu dibacakan.

Di Mahkamah Sesyen 2, doktor berkenaan menghadapi dua pertuduhan iaitu memalsukan borang daftar kelahiran dua bayi bagi maksud memudahkan perbuatan pemerdagangan orang.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Putra Medical Centre (PMC) di sini iaitu lebih kurang 3 petang pada 24 Feb lepas bagi kesalahan pertama manakala pertuduhan kedua, pada 6.55 petang, 19 Sept tahun lepas.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun dan didenda tidak kurang RM50,000 tetapi tidak melebihi RM500,000.

Murtazadi membenarkan doktor terbabit diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berkenaan.

Sementara itu, satu pertuduhan lagi yang dibacakan di Mahkamah Sesyen 4 pula, Dr Yeoh dituduh bersama dengan pasangan suami isteri, Yap Kok Leong, 59, dan Sai a/p Chom, 52, memalsukan dokumen iaitu borang daftar kelahiran seorang bayi dengan niat dokumen palsu itu digunakan bagi tujuan menipu.

Kesemua mereka yang mengaku tidak bersalah, didakwa melakukan kesalahan itu di PMC lebih kurang 7.24 malam pada 22 Jan 2014 yang didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun dan juga boleh didenda.

Juraidah membenarkan masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, pasangan suami isteri itu juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 2 atas dua pertuduhan iaitu didakwa memperdagangkan seorang bayi berusia tiga bulan dan bayi berusia empat hari, bagi maksud eksploitasi iaitu pemindahan milikan jagaan ke atas bayi itu dengan pertukaran wang ringgit yang menyalahi Seksyen 48 Akta Kanak-Kanak 2001.

Mereka didakwa melakukan kesalahan pertama di No 2-C, Alor Janggus di sini lebih kurang 7 malam pada 28 Feb lepas manakala pertuduhan kedua, bertempat di Tokong Seong Kheng Aum di sini pada 6.45 petang, 22 Sept tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang tiga tahun tetapi tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh didenda.

Hakim Murtazadi membenarkan pasangan suami isteri berkenaan masing-masing diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua mahkamah itu menetapkan 5 Jan depan untuk sebutan semula kes Dr Yeoh dan pasangan suami isteri berkenaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Perlis Mohd Nordin Ismail manakala Dr Yeoh diwakili Peguam Burhanudeen Abdul Wahid dan suami isteri itu diwakili Peguam Eng Yuh Pei. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu