Nation
146

Dr Noor Hisham dianugerah doktor falsafah UKM

Bangi – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Kesihatan Awam) pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke 48 di sini, hari ini.

Majlis penganugerahan itu disempurnakan Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM.

Noor Hisham yang merupakan Alumni Fakulti Perubatan UKM 1988 mengetuai senarai penerima anugerah pada majlis konvokesyen secara fizikal yang akan berlangsung sehingga 12 April nanti.

Turut menerima penganugerahan pada majlis konvokesyen itu ialah Profesor Emeritus Dr. Soontak Lee (Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan Kelestarian).

Soontak merupakan seorang saintis yang diiktiraf di peringkat global dan Profesor Emiritus di Universiti Yeungnam, Korea Selatan.

Sementara itu, Tuanku Mukhriz bertitah, seluruh warga UKM seharusnya berbangga dengan sumbangan Noor Hisham yang disifatkan sebagai tokoh penting dalam memerangi Covid-19 di negara ini.

“Selain Noor Hisham, tokoh alumni UKM iaitu Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood juga adalah orang penting dalam menangani penularan wabak Covid-19”, titah baginda.

Sebelum ini, Noor Hisham turut menerima anugerah Alumni Tersohor 2019 oleh Fakulti Perubatan UKM pada 3 Julai tahun lalu atas sumbangan besar beliau dalam bidang perubatan.

Dalam pada itu, Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, seramai 6,166 graduan UKM akan menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-48 yang akan diadakan secara fizikal.

Menurutnya, Mesyuarat Khas Majlis Konvokesyen UKM Ke-48 telah bersetuju untuk mengadakan majlis konvokesyen sebanyak 10 sidang secara bersemuka atau fizikal dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Keputusan ini dibuat bagi menyantuni permintaan para graduan yang menamatkan pengajian pada tahun 2020 untuk bergraduasi secara bersemuka,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan Selangor berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membolehkan majlis dianjurkan dengan kapasiti 50 peratus daripada ruang, UKM mematuhi peraturan itu dengan hanya menggunakan kapasiti 25 peratus daripada ruang dewan yang boleh memuatkan 4,000 orang pada satu-satu masa.

Katanya lagi, hanya bakal graduan sahaja dibenarkan untuk berada di dalam dewan DECTAR tanpa ditemani oleh ibu, bapa atau keluarga.

“Para ibu, bapa dan keluarga yang mengiringi dan menghantar graduan tidak dibenarkan berada di sekitar dewan DECTAR sebaliknya digalakkan menunggu di luar kampus UKM sebelum masuk semula ke kampus apabila majlis selesai,” katanya.

Katanya, mereka masih boleh menyaksikan Majlis Konvokesyen secara langsung melalui saluran media sosial rasmi UKM di pautan https://www.facebook.com/UKMOfficial serta saluran YouTube, https://live.ukm.my. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu