Social
173

Dua lagi lokaliti dikenakan PKPD mulai esok

Kuala Lumpur – Dua lagi lokaliti akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok hingga 13 Mei iaitu Taman Seri Desa, Kuala Krau, Temerloh, Pahang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melugu, Sri Aman, Sarawak.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia berikutan penularan kes COVID-19 dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di Taman Seri Desa, selain peningkatan kes yang mendadak di SMK Melugu.

Beliau turut memaklumkan seluruh daerah Raub, Pahang akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok hingga 13 Mei.

Selain itu, dua mukim di daerah tersebut iaitu Mukim Gali yang melibatkan bandar Raub, Sungai Ruan dan Kampung Baru Sempalit serta Mukim Tras (Kampung Sang Lee, Kampung Baru Tras dan Kampung Sungai Cheetang) dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh sama.

“Pelaksanaan PKPB dan PKP di daerah dan mukim-mukim ini untuk memastikan pergerakan penduduk dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 ke kawasan lain,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKP hari ini.

Menerusi kenyataan itu, Ismail Sabri turut memaklumkan perlanjutan PKPD di dua lokaliti di Kelantan yang melibatkan Sekolah Menengah Ugama (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Tumpat mulai esok hingga 13 Mei, manakala di Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu adalah dari 1 Mei hingga 14 Mei.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan penamatan PKPD di Taman Tawau Lama dan Kampung Batu Payung, serta Kampung Baru Pasir Putih di Tawau, Sabah; Sungai Passin, Matu, Mukah di Sarawak serta Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka berkuat kuasa esok.

Kerajaan turut bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Simpang 3A, Merotai Besar, Tawau, Sabah serta Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuching dan kuarters kakitangan, Sarawak mulai hari ini, katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata 314 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam dengan 297 dikompaun manakala 17 lagi direman melibatkan kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka, gagal merekod butiran diri serta tiada penjarakan fizikal.

Bagi kawalan sempadan negara pula, seramai 13 pendatang tanpa izin ditangkap dan tujuh kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng semalam. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu