Kuala Lumpur Post

Nation

Dua RUU di bawah Kementerian Kewangan dibentang untuk bacaan kali pertama

KUALA LUMPUR — Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Pendapatan (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2024 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika membentangkan RUU itu berkata bacaan kali kedua akan dibuat pada sesi persidangan kali ini.

Menurut dokumen yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, RUU Cukai Pendapatan (Pindaan) 2024 yang dicadangkan ini bertujuan untuk meminda Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53).

Pindaan ini melibatkan Seksyen 2, 3, 4, 8 dan 9 akan mula berkuat kuasa apabila berkuat kuasanya Akta ini, Seksyen 5 dan 6 disifatkan telah mula berkuat kuasa pada 1 Jan 2024 dan Seksyen 7 berkuat kuasa bagi tahun taksiran 2024 dan tahun-tahun taksiran yang berikutnya.

RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2024 pula bertujuan meminda Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 (Akta 445) dan pindaan ini disifatkan telah mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2024.

Kedua dua RUU ini tidak akan melibatkan kerajaan dalam apa-apa perbelanjaan wang tambahan.