Social
241

Duda anak 6 dihukum gantung sampai mati

Kuala Lumpur – Seorang duda anak enam dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 149.5 gram dadah jenis methamphetamine, tiga tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu ke atas Shahfary Sabri, 47, selepas mahkamah berpuas hati tiada keraguan munasabah yang ditimbulkan oleh pihak pembelaan.

Shahfary dituduh mengedar dadah itu di sebuah bilik hotel, di sini, pada 19 Okt 2018, mengikut Seksyen 38B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama, yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Dalam prosiding perbicaraan sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa tertuduh ditahan pihak polis di kawasan lobi hotel sebelum dibawa naik ke sebuah bilik hotel itu untuk pemeriksaan lanjut.

Siasatan polis telah menemukan dadah dibungkus di dalam sebuah plastik hitam bertulis perkataan ‘Thank You’ di celah pinggang seluar tertuduh.

Lima saksi pendakwaan dan satu saksi pembelaan iaitu tertuduh telah memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 3 Sept 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abd Hadi manakala tertuduh diwakili peguam Haris Salleh Hamzah. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu