Social
213

Edar dadah : 4 sekeluarga termasuk remaja 14 tahun ditahan

Sungai Petani – Empat sekeluarga termasuk seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan selepas dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dalam dua serbuan iaitu di Pinang Tunggal dekat sini dan Padang Serai, Kulim hari Isnin.

Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata keempat-empat suspek terdiri daripada seorang lelaki berusia 32 tahun serta isteri, 20, ibu mertua, 48, dan remaja tersebut yang merupakan adik iparnya.

“Tangkapan pertama melibatkan lelaki berusia 32 tahun yang sebelum itu dikesan dalam keadaan mencurigakan di atas sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR di tepi jalan berhampiran sebuah masjid di Pinang Tunggal dekat sini pada kira-kira 2 petang.

“Suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit kemudian ditahan dan pemeriksaan terhadap beg galas yang dimilikinya menemukan 14 paket dadah dipercayai jenis heroin dengan berat keseluruhan berjumlah 6.36 kilogram (kg),” katanya dalam sidang media semalam.

Beliau berkata susulan tangkapan itu, polis melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Serai, Padang Serai pada 4.05 petang dan menahan tiga lagi yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan suspek lelaki.

Kamarul Zaman berkata hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menemukan satu beg pakaian mengandungi lima paket disyaki dadah jenis heroin seberat 1.94 kg dan satu paket plastik dipercayai syabu seberat 12.5 gram.

Beliau berkata nilai keseluruhan dadah yang dirampas dalam kedua-dua serbuan dianggarkan hampir RM95,000 dan boleh digunakan untuk kira-kira 40,000 hingga 50,000 penagih.

“Siasatan mendapati sindiket ini aktif mengedar dadah kira-kira sejak setahun lepas dan bekalan dipercayai diperoleh di negeri ini dan kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Kamarul Zaman berkata kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau juga berkata polis masih menyiasat kes seorang Ahli Parlimen di negeri itu yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara baru-baru ini.

“Kita masih dalam proses siasatan, saksi yang terlibat telah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk memberikan keterangan… setelah siasatan selesai, kita akan serahkan kepada pendakwa raya,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu